Selasa, 18 Jun 2019 | 4:19pm

Akibat tak kunci pintu kereta

CHUKAI: Polis memburu dua lelaki yang melarikan sebuah beg tangan milik warga Filipina dalam kejadian di Taman Perwaja, semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku di depan sebuah kedai runcit ketika mangsa yang berusia 38 tahun memberhentikan keretanya di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, mangsa pergi ke kawasan itu untuk melakukan urusan dan meninggalkan beg tangannya di dalam kereta tanpa mengunci kenderaannya itu.

“Dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang menaiki kereta jenis sama kemudian memberhentikan kereta bersebelahan kereta suspek.

“Seorang daripada suspek keluar dari kereta dan memerhatikan keadaan sekeliling sebelum membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg tangan wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Mohd Haki berkata, kedua-dua suspek kemudiannya memecut kenderaan mereka untuk melarikan diri.

“Mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian cuba mengejar kereta dinaiki suspek namun tidak berjaya,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa mendakwa beg tangannya yang dilarikan itu mengandungi pasport, kad ATM, mykid dan sebuah telefon bimbit miliknya.

Katanya, mangsa kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk membuat laporan berhubung kejadian.

“Polis sudah mendapatkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di tempat kejadian itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Orang ramai yang memperoleh maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan di talian 09 859 2222,” katanya.

Berita Harian X