Selasa, 18 Jun 2019 | 1:00pm
- Foto hiasan

J Lo ke Jho Low?

KUALA LUMPUR: Nama penyanyi dan pelakon terkenal Amerika Syarikat, J Lo atau Jennifer Lopez tiba-tiba disebut pada perbicaraan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Namun, bukan selebriti terkenal itu yang sebenarnya dimaksudkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, sebaliknya ia merujuk kepada ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa iaitu Low Taek Jho atau Jho Low.

Sithambaram yang ketika itu menyoal semula saksi ke-39 pendakwaan iaitu bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail, bertanyakan soalan yang cuba mengaitkan Najib dengan Jho Low.

Sithambaram: Apa kedudukan Najib dalam 1MDB?

Ismee: Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB

Sithambaram: J Lo?

Ismee: Tidak ada

Sithambaram: Adakah Najib rakan sekutu J Lo?

Ismee: Saya tidak tahu

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berada di bangku peguam bela kedengaran bersuara , “Jho Low bukan J Lo.”

Seperti biasa, Ismee yang sentiasa tenang dan bersahaja pada sepanjang prosiding, berseloroh dengan bertanya Sithambaram, “Kamu bertanya mengenai J Lo atau Jho Low ni?”

Ia menyebabkan semua dalam mahkamah ketawa.

Berita Harian X