Selasa, 18 Jun 2019 | 12:33pm
ISMEE Ismail

Tidak maklum Najib masalah SRC - Ismee

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail tidak pernah bersemuka dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan masalah dihadapi SRC International Sdn Bhd.

Sebaliknya, Ismee berkata, perkara itu hanya disampaikan kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias ketika menyerahkan surat peletakkan jawatannya.

Ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, sama ada beliau pernah memberikan sebarang maklumat kepada bekas Perdana Menteri itu supaya tindakan diambil, Ismee menjawab; “Tidak.”

Muhammad Shafee: Dalam hal ini, tiada satu pun masalah yang sampai ke pengetahuan Najib?

Ismee: Ya. Setakat apa yang saya tahu, ketika saya memberi surat peletakan jawatan, Allahyarham Azlin ada bertanya secara bersahaja kenapa (meletak jawatan)? Saya kemudian menjelaskan kepada beliau,” katanya.

Muhammad Shafee: Ada beritahu mengenai Nik Faisal Ariff Kamil (Ketua Pegawai Eksekutif SRC)?

Ismee: Tidak... itu bukan cara saya. Saya fokus kepada isu dan bukan individu.

Muhammad Shafee: Anda tidak fokus kepada individu yang mencetuskan masalah?

Ismee: Tidak

Muhammad Shafee: Anda tahu kalau Allahyarham Azlin menyampaikan perkara itu kepada Najib?

Ismee: Tidak

Muhammad Shafee: Adakah anda berpeluang untuk memaklumkan perkara itu kepada Najib

Ismee: Tidak.

Berita Harian X