Selasa, 18 Jun 2019 | 10:57am
OMAR Mammah

10 kru bot nelayan dipercayai diculik

KOTA KINABALU: Seramai 10 kru bot nelayan dipercayai diculik penjenayah rentas sempadan berhampiran perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina, awal pagi tadi.

Dua bot dinaiki 16 kru itu dipercayai berada di perairan Tambisan dalam perjalanan ke Semporna, sebelum didatangi kumpulan bersenjata menggunakan bot laju, kira-kira jam 2 pagi.

Setakat ini, difahamkan semua mangsa yang diculik adalah lelaki, pemegang dokumen Lepa-Lepa, berusia antara 17 tahun hingga 60 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pihaknya masih mengenal pasti maklumat berkenaan dan setakat ini, tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak.

Katanya, kejadian itu juga belum dapat disahkan sama ada berlaku dalam perairan negara ini atau di Filipina.

“Kita belum dapat sahkan (kejadian penculikan) dan tidak pasti ia berlaku di perairan sempadan mana,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi berkata, kejadian berkenaan belum dapat disahkan.

Sementara itu, sumber memberitahu BH, kejadian penculikan membabitkan dua bot nelayan itu memang berlaku dan difahamkan pasukan keselamatan sudah pergi ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.

Katanya, sebuah daripada bot nelayan itu dinaiki tujuh kru dengan empat daripadanya yang juga memegang dokumen Lepa-Lepa berusia antara 17 hingga 30 tahun, diculik.

Sebuah lagi bot dinaiki sembilan kru dengan enam daripadanya yang juga pemegang dokumen Lepa-Lepa diculik, berumur antara 22 hingga 60 tahun.

Jika sah, ia adalah kes penculikan kesembilan dilaporkan di kawasan pantai timur Sabah sejak 2016 hingga hari ini.

--------------

Kronologi kes penculikan di Sabah

* 1 April 2016: Dua beradik, Wong Teck Kang, 31; dan Wong Teck Chii, 29; serta sepupu mereka, Jhonny Lau Jung Hien, 21; dan anak kapal Wong Hung Sing, 34 diculik di perairan Pulau Ligitan berhampiran Semporna.

* 10 Julai 2016: Tiga rakyat Indonesia, Lorence Koten, 34; Teo Dorus Kopong, 42; dan Emanuel, 46, diculik lima lelaki bersenjata di perairan FELDA Sahabat ketika menangkap ikan jam 11.40 malam.

* 18 Julai 2016: Lima kru kapal tunda iaitu Abdul Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45; Fandy Bakran, 26; Mohamad Jumadil Rahim, 23; dan Mohd Ridzuan Ismail, 32; diculik di perairan Lahad Datu sebelum diselamatkan pihak keselamatan Filipina dalam operasi berasingan pada 23 dan 26 Mac 2017 selepas lapan bulan menjadi tebusan Abu Sayyaf.

* 3 Ogos 2016: Juragan Herman Mangga, 30; Aryanto Basrun, 22; dan Muhamadin Ratin, 26; dipercayai diculik ketika menunda pukat di perairan Kinabatangan.

* 11 September 2016: Tiga kru kapal nelayan warga Filipina, Loloi Alpin, 30; Sami, 30; dan Masurin, 50; diculik tujuh lelaki bersenjata di perairan Pulau Pom-Pom Semporna.

* 27 September 2016: Pemilik pukat tunda Ruslan Sarapin, 39; diculik di perairan Pulau Gaya, Semporna ketika menangkap ikan bersama 26 lagi anak kapal, dia dibebaskan pada pagi 1 Oktober.

* 11 September 2018: Dua nelayan warga Indonesia dipercayai diculik kumpulan culik untuk wang tebusan (KFR) di perairan Pulau Gaya, Semporna.

* 6 Disember 2018: Seorang nelayan Malaysia, Jari Abdullah, 34, dan dua rakannya, warga Indonesia, Heri Ardiansyah serta Hariadin, diculik ketika memukat ikan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

1771 dibaca
Berita Harian X