Isnin, 17 Jun 2019 | 6:32pm
Pemilik spa, Farabi Ahmad (tengah) didenda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas bersalah menjalankan perniagaan tanpa lesen sah. - NSTP/Ghazali Kori

Pemilik spa didenda RM100,000

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik spa dijatuhi hukuman denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengendalikan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran sah di premis kecantikan miliknya di Dungun, pada April 2017.

Hakim Azman Mustapha juga memerintahkan pemilik premis Raisya Medispa, Farabi Ahmad Mohd Amin, 31, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Farabi Ahmad membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa perakuan pendaftaran mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 pada 2017.

Dia turut didakwa bukan seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan tidak pernah diberi Sijil Amalan Tahunan.

Farabi Ahmad didakwa melakukan kesalahan itu di premis Raisya Medispa yang beralamat di Kompleks Perniagaan Sura Gate, Dungun pada jam 11.30 malam pada 13 April 2017.

Dia turut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(a)(i) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh diwakili peguam bela, Masliela Ismail dan Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Berita Harian X