Isnin, 17 Jun 2019 | 6:05pm
BEKAS Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin.

Lembaga pengarah SRC mungkin diperdaya - Peguam

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin mungkin terbabit dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil untuk menipu Lembaga Pengarah berhubung perjanjian perniagaan di antara Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

Ia berikutan Lembaga Pengarah SRC tidak dimaklumkan langsung mengenai perjanjian itu di mana Gandingan Mentari akan melabur RM140 juta dalam Putra Perdana Construction.

Seterusnya, melalui perjanjian itu, Putra Perdana Construction akan membabitkan diri dengan pelaburan di Afrika Selatan.

Gandingan Mentari adalah anak syarikat SRC manakala Putra Perdana Construction adalah anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Perjanjian itu membabitkan pembahagian keuntungan 70/30 di antara Gandingan Mentari dan Putra Perdana Construction.

Perkara itu dicadangkan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menyoal balas saksi ke-39 pendakwaan, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC Tan Sri Ismee Ismail, 54.

Menjawab soalan itu, Ismee bersetuju dengan cadangan peguam.

Harvinderjit: Gandingan Mentari memasuki perjanjian dengan Putra Perdana Construction sebagai pengarah pelaburan yang tidak betul dalam aktiviti perlombongan di Afrika Selatan, melabur RM140 juta ke dalam Putra Perdana Construction dan membahagikan keuntungan 70:30. Ini tidak diberitahu kepada Lembaga Pengarah?

Ismee: Tidak.

Harvinderjit: Nampaknya Suboh terbabit dengan Nik Faisal?

Ismee: Ya.

Ismee turut disoal berhubung wang pinjaman RM2 bilion daripada KWAP yang dimasukkan ke dalam akaun SRC pada 28 Mac 2012 dan dikeluarkan pada bulan yang sama.

Harvinderjit: Lembaga Pengarah tidak meluluskan pengeluaran ini?

Ismee: Ya

Harvinderjit: Wang yang dipindah masuk dan dikeluarkan itu tidak mematuhi mandat Lembaga Pengarah?

Ismee:Ya

Harvinderjit: Ini adalah penipuan yang serius?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: RM2 bilion dipindah masuk dan dipindah keluar daripada akaun SRC. Adakah kamu bertanya kepda Nik Faisal dan Suboh mengenai hal ini?

Ismee: Saya ada bertanya Suboh dan beliau cakap, Nik Faisal beritahu ‘semuanya okey’.

Harvinderjit: Adakah Suboh beritahu bahawa beliau tidak menandatangani semua dokumen berkaitan dan tandatangannya dipalsukan?

Ismee: Beliau tidak pernah beritahu mengenai perkara itu.

Pada sesi soal balas berpanjangan sejak Selasa lalu dan sudah memasuki hari ke-5 itu, peguam cuba mengaitkan pembabitan Suboh, Nik Faisal; bekas Pengarah Kewangan 1Malaysia Developmnent Berhad, Terrance Geh dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Harvinderjit bertanyakan Ismee sama ada beliau mengetahui keempat-empat individu itu ialah rakan sekutu Jho Low, yang dijawab saksi, “Saya hanya mengetahuinya selepas skandal 1MDB diketahui umum.”

Peguam kemudian mencadangkan kepada saksi, bahawa Nik Faisal memperdayakan Lembaga Pengarah SRC dalam banyak perkara, termasuk bagaimana SRC memperoleh jaminan berhubung pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Harvinderjit mencadangkan bahawa Lembaga Pengarah tidak dimaklumkan mengenai peranan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dalam mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman terhadap syarikat itu.

Harvinderjit selanjutnya mencadangkan, jika Nik Faisal boleh berbohong mengenai perkara itu kepada Lembaga Pengarah, maka tidak mustahil beliau juga boleh berbohong mengenai perkara lain.

Ismee bersetuju dengan cadangan peguam itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Berita Harian X