Isnin, 17 Jun 2019 | 2:21pm
LOKASI kejadian kemalangan kereta Proton Persona dengan sebuah lori dari arah bertentangan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Perdana di Pagoh, Muar. NSTP/Ihsan Bomba Dan Penyelamat

Lelaki maut kereta bertembung lori

MUAR: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Muar-Pagoh, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pagoh Perdana di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.35 pagi itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai Harith Iskandar Mohd Din, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu Proton Persona dalam perjalanan dari arah Bandar Muar menghala ke Pagoh.

“Ketika melalui selekoh, kedua-dua kenderaan bertembung menyebabkan mangsa tersepit di dalam keretanya dan parah pada bahagian kepala.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Zaharudin berkata, siasatan awal di lokasi mendapati ia berlaku di jalan berselekoh dan permukaan jalan juga berkeadaan kering.

“Pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berkaitan kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X