Ahad, 16 Jun 2019 | 11:48pm
MAYAT Muhammad Dani Irfan Abu Bakar ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Desa Manjung Point II, Seri Manjung, hari ini. - Foto ihsan bomba

Remaja lemas tergelincir ketika memancing

SERI MANJUNG: Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Desa Manjung Point II, di sini, hari ini.

Mayat Muhammad Dani Irfan Abu Bakar, 15, ditemui pasukan penyelamat tersangkut di celah batu kira-kira 10 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh, pada jam 8.42 malam tadi.

Mangsa datang ke sungai berkenaan untuk memancing bersama tiga rakannya sebelum selipar remaja itu terjatuh dan ketika cuba mengambilnya, mangsa dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 2.35 petang.

Menurutnya, sebaik menyedari mangsa terjatuh ke dalam sungai seorang rakannya cuba membantu namun tidak berjaya sebelum mereka menghubungi bomba untuk bantuan lanjut.

“Bomba yang tiba di lokasi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) secara permukaan di air sebelum menerima bantuan daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor dan agensi lain sebelum mayatnya ditemui,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan seramai 18 anggota bomba termasuk PPDA Pulau Pangkor, empat penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 13 anggota polis.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada jam 9.30 malam,” katanya.

754 dibaca
Berita Harian X