Ahad, 16 Jun 2019 | 9:30pm
AHLI keluarga mangsa ketika ditemui di perkarangan unit forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. - Foto Farizul Hafiz Awang
SYAKILA Isa ketika ditemui di perkarangan unit forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. - Foto Farizul Hafiz Awang

Nasi lemak sambal sotong masakan terakhir

TEMERLOH: Nasi lemak sambal sotong adalah juadah terakhir yang dimasak oleh Siti Zubaidah Abidin, mangsa kemalangan maut sebuah kereta dan dua lori di Kilometer 51 Jalan Temerloh - Kemasul di Bera, hari ini.

Anak saudara Siti Zubaidah, Syakila Isa, 21, berkata ibu saudaranya itu tidak membenarkan orang lain memasak selama dia berada di rumah neneknya di FELDA Bukit Puchong, Bera.

“Malah, dia meminta kami memberitahu juadah apa yang ingin dimakan dan dia sendiri yang akan memasak untuk kami semua.

“Mungkin makcik Siti terlalu gembira kerana dapat berkumpul beramai-ramai, jadi dia masakkan nasi lemak sambal sotong.

“Bagaimanapun, dia tidak menjamah nasi yang dimasak sebab mahu makan selepas pulang daripada kenduri pertunangan di Serting, Negeri Sembilan,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, anak kepada Siti Zubaidah, Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman, 6, dan adik kepada Siti Zubaidah, Siti Rahmah Abidin, 33, dan suami Siti Rahmah, Nor Amri Mohd Ali, 35, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik iparnya, Nor Shuhada Shukri, 29, parah dan mendapat rawatan di HoSHAS di sini.

Syakila berkata, mereka berkumpul di rumah neneknya di FELDA Bukit Puchong, Bera sejak Jumaat lalu bagi meraikan Aidilfitri.

“Sepatutnya ada dua buah kereta akan berkonvoi ke Serting, namun, kereta Perodua Viva yang dinaiki makcik sekeluarga bertolak dahulu.

“Saya bersama ayah, ibu, nenek dan seorang lagi saudara menaiki kereta PROTON Persona dan kami bertolak kira-kira lima minit kemudian.

“Apabila sampai ke tempat kejadian, kami lihat kereta yang dinaiki mereka terperosok di bawah lori. Kami menggigil melihat kejadian itu sehinggakan ayah tak mampu untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, suami Siti Zubaidah, Kamarulzaman Khamis, 45, reda dengan kejadian itu walaupun pada mulanya agak sukar menerima kehilangan isteri serta anak bongsunya itu.

“Ujian ini sangat berat untuk saya terima. Tambahan pula ia berlaku di bulan Syawal. Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan keadaan dia seperti biasa,” katanya.

Difahamkan jenazah semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan FELDA Bukit Puchong selepas proses bedah siasat selesai.

Berita Harian X