Jumaat, 14 Jun 2019 | 7:31pm
PEGUAMBELA, Harvinderjit Singh. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Cabar keterangan Ismee, peguam Najib akan tentukan

KUALA LUMPUR: Jangkaan bahawa peguam mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mencabar keterangan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail hari ini, bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

Pada awal prosiding perbicaraan kes itu, peguam Harvinderjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihaknya sudah meneliti nota prosiding saksi yang memberikan keterangan selama empat hari lalu.

“Kita akan menguruskan perkara ini dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, pihak pembelaan memohon menangguhkan prosiding bagi meneliti keterangan Ismee ketika perbicaraan didakwa bercanggah dengan keterangan diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Najib memohon meneliti semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan beberapa isu sama ada terdapat aspek bercanggah bagi tindakan lanjut.

Keterangan saksi dipertikaikan itu berhubung isu sama ada Lembaga Pengarah SRC bertindak dan membuat keputusan berdasarkan resolusi pemegang saham atau melalui nasihat Najib selaku Penasihat Emeritus syarikat itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan selepas meneliti nota prosiding saksi, menemui dokumen diminta pembelaan untuk dikemukakan Ismee membabitkan isu berhubung pengaruh Najib ke atas Lembaga Pengarah SRC.

Sithambaram berkata, pihak pendakwaan sebenarnya sudah lama mengemukakan dokumen berkenaan membabitkan isu sama ada terdapat resolusi pemegang saham yang menjadi keutamaan dalam proses membuat keputusan syarikat SRC.

“Saya membawa perkara ini supaya pihak pembelaan boleh meminta dokumen terbabit ketika soal balas.

“Saya tidak mahu mereka nanti menyatakan kita membuat kejutan dengan (mengemukakan dokumen baharu) tiba-tiba,” katanya.

Harvinderjit bagaimanapun bangun dan membantah.

Harvinderjit: Saya persoalkan mengapa kamu kemukakan dokumen ini, soal balas saya hampir selesai. Mungkin lebih teratur jika dibangkitkan selepas ini. Pada pemeriksaan utama, menunjukkan ada resolusi lain tetapi tidak ditunjukkan kepada saksi. Saya akan bangkitkan hal itu nanti.

Sithambaram: Saya cuma mahu memastikan prosiding perbicaraan tidak ditangguhkan lagi.

Seperti beberapa hari lalu, Sithambaram hari ini sekali lagi mengemukakan bantahan terhadap cara Harvinderjit bertanyakan soalan kepada saksi.

Beliau berkata, peguam tidak sepatutnya bertanyakan soalan dengan laju, sebaliknya memberi masa kepada saksi memahami dan menjawab.

Ia berikutan Ismee kelihatan gagal memahami apa yang cuba ditanyakan peguam dan kerap meminta soalan diulang beberapa kali.

Di akhir prosiding, Mohd Nazlan sekali lagi mengingatkan Ismee tidak membincangkan perkara membabitkan kes itu dengan mana-mana pihak.

Ia berikutan saksi ke-39 pendakwaan itu belum dilepaskan daripada menjadi saksi pendakwaan dan masih dalam bersumpah.

Ismee bagaimanapun spontan menjawab “Jangan bimbang, isteri saya tidak tanya mengenai hal mahkamah,” katanya.

Jawapan itu membuatkan semua yang berada dalam mahkamah ketawa.

Berita Harian X