Jumaat, 14 Jun 2019 | 7:32am
Tiga sekeluarga maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, pagi Jumaat.

Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran rumah

PETALING JAYA: Tiga sekeluarga maut termasuk seorang daripadanya rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan, di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.47 pagi.

Bertindak atas maklumat itu, tiga jentera bomba bersama 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya serta BBP Subang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba bersiap sedia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan, Petaling Jaya. - Ihsan Bomba

Tiga maut selepas terperangkap dalam rumah terbakar dalam kejadian di Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan, di sini kira-kira 2.47 pagi tadi. - Ihsan Bomba

“Ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 2.59 pagi, kita mendapati tingkat satu rumah itu terbakar 100 peratus.

“Berdasarkan laporan yang diterima, kesemua mangsa yang terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan dan disahkan maut di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Hafisham berkata, hasil siasatan awal menunjukkan rumah teres dua tingkat itu sudah diubahsuai menjadi tiga tingkat.

“Punca dan nilai kerugian sebenar masih dalam masih dalam siasatan,” katanya.

Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan, Petaling Jaya. - Ihsan Bomba
Berita Harian X