Khamis, 13 Jun 2019 | 6:02pm
Che Azhar Che Kas dijatuhi hukuman penjara 28 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, selepas didapati bersalah memukul seorang mekanik sehingga parah. - Foto Haneeyzah Bariah Baharin

Buruh pukul mekanik dihukum penjara 28 bulan

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh yang memukul seorang mekanik sehingga parah kerana tidak puas hati dengan caj membaiki kereta dikenakan, dijatuhi hukuman penjara 28 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Che Azhar Che Kas, 56, dari Hulu Takir, Seberang Takir, Kuala Nerus di sini, yang didapati bersalah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Mengikut pertuduhan, Che Azhar didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Rizal Abdul Mubin, 52, di sebuah bengkel membaiki kereta di Lorong Haji Su, di sini, kira-kira jam 3.30 petang pada 9 Mei 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghantar kereta jenis Suzuki Swift kepada mangsa untuk dibaiki sejak dua bulan sebelum kejadian.

Bagaimanapun, ketika mahu mengambil kenderaannya, tertuduh tidak puas hati apabila caj dikenakan RM500 kerana mendakwa terlalu tinggi.

Tertuduh hanya bersetuju membayar RM300 menyebabkan berlaku berlaku pergaduhan antara mereka.

Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul menggunakan pasu bunga dan batu di kepala, selain turut ditendang di muka dan badan dan diikat pada bahagian kaki dan tangan dengan dawai besi.

Kejadian menyebabkan mangsa cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan mangsa patah tulang rusuk kiri serta luka di kepala.

Berita Harian X