Khamis, 13 Jun 2019 | 5:00pm
DADAH dipercayai jenis Syabu dirampas daripada seorang lelaki dalam satu serbuan di Mukah. - Foto Khalid Latip

Hantar dadah guna bas

MUKAH: Cubaan seorang mekanik mendapatkan bekalan dadah tidak kesampaian selepas ditahan polis ketika mengambil bungkusan syabu yang dihantar pembekalnya dari Bandaraya Kuching menggunakan bas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, berkata suspek lelaki berusia 20 tahun itu disyaki pernah mendapatkan bekalan dadah menggunakan kaedah itu sebelum ini.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis sama.

“Suspek ditahan kira-kira 11.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Dan Narkotik Daerah Mukah, bertindak atas maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki jenis methamphetamine atau syabu seberat 7.62 gram yang dianggarkan bernilai RM1,500 megikut pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata, dalam siasatan awal, suspek mengaku dadah yang dijumpai itu miliknya kegunaan dan hanya untuk kegunaan sendiri yang diedarkan secara kecil-kecilan.

“Sispek juga mengaku memperolehi bekalan syabu daripada seorang pengedar di Kuching yang kemudian dihantar menggunakan bas ke Mukah,” katanya.

Jimmy berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pembekal dadah berkenaan yang dihantar kira-kira 800 kilometer dari Bandaraya Kuching.

301 dibaca
Berita Harian X