Khamis, 13 Jun 2019 | 2:36pm

Akaun SRC meragukan, Pengerusi SRC tidak beritahu Najib

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd tidak berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memaklumkan keraguan pada status audit akaun milik syarikat itu.

Tan Sri Ismee Ismail, 54, dalam keterangan ketika menjawab soalan balas peguam Harvinderjit Singh mewakili Najib berkata, beliau tidak berbuat demikian kerana mahu menyiasat perkara itu terlebih dulu.

Katanya, isu itu tidak dilaporkan kepada Najib kerana beliau berjaya menangani masalah akaun terbabit.

Najib adalah Penasihat Emeritus syarikat SRC dan pemegang saham atas kapasiti Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang memiliki 1MDB selaku syarikat induk kepada SRC.

Ismee selaku saksi ke-39 pendakwaan itu berkata, selepas mendapati akaun syarikat meragukan, beliau melakukan siasatan terperinci dengan menghubungi juruaudit, Deloitte Malaysia bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenapa urusan audit akaun dilambatkan.

Katanya, beliau kemudian diberitahu terdapat beberapa pengesahan audit yang tidak diterima daripada pengurusan (SRC).

Jelas Ismee, beliau menangani satu persatu akaun milik SRC pada 2013 atas rasa tanggungjawab.

Ketika dicadangkan Harvinderjit berhubung isu bahawa beliau sepatutnya memaklumkan perkara berkaitan keraguan akaun itu kepada Najib, Ismee menjawab “tidak setuju.”

Harvinderjit: Sewajarnya perkara berkaitan akaun tidak diaudit perlu dilapor kepada perdana menteri (ketika itu), Najib?

Saksi: Tidak setuju kerana saya perlu membuat siasatan terperinci terlebih dulu. Saya menghubungi juruaudit, Deloitte berikutan terdapat beberapa pengesahan audit yang tidak diterima daripada pengurusan (SRC).

Harvinderjit: Nik Faisal Ariff Kamil selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tidak mengambil tindakan?

Saksi: Nik Faisal meminta maaf apabila saya bertanyakan perkara itu dan berkata beliau sibuk dengan urusan lain yang perlu diselesaikan.

Ismee berkata, beliau atas rasa tanggungjawab mengendalikan perkara itu dengan menangani satu persatu akaun terbabit.

“Saya mahu memastikan semua akaun berkaitan ditutup dan perkara itu pun tidak dilaporkan kepada Najib kerana masalah sudah selesai,” katanya.

1860 dibaca
BEKAS Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X