Khamis, 13 Jun 2019 | 1:27pm

Tiga lagi mayat Orang Asli ditemui - Polis

KOTA BHARU: Tiga lagi mayat Orang Asli suku kaum Batek dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang dipercayai terkena jangkitan radang paru-paru ditemui, petang semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, berkata semua mayat iaitu dua lelaki dan seorang perempuan itu dikenal pasti sebagai Safia Papan, 18, (perempuan), Jais Keladi, 55, dan Fayah Papan, 19, ditemui antara jam 4.30 hingga 5 petang.

Katanya, rangka pertama yang ditemui semalam dikenal pasti sebagai Din Hamdan, 18.

“Semua mayat ditemui antara 600 meter sehingga enam kilometer daripada kampung terbabit.

“Setakat ini semua mayat yang ditemui di atas pelantar yang dibina di atas pokok setinggi tiga meter. Kita tidak ketahui keadaan mayat itu kerana ia ditutup dengan tikar mengkuang dan hanya forensik dibenarkan membuat pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Menurutnya, pada hari ini, pasukan Forensik akan masuk ke kawasan terbabit untuk membawa keluar semua mayat terbabit untuk dibawa ke tempat sepatutnya.

“Kita pun tidak boleh ambil mayat begitu sahaja, sebab perlu jaga adat suku Batek ini, mungkin ada ritual sendiri sebelum mayat itu dibawa keluar,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya menjangkakan lebih banyak penemuan diperoleh hari ini dengan bantuan ahli keluarga Orang Asli di kampung itu.

“Semua lokasi (mayat) sudah diketahui oleh ahli keluarga cuma yang kita bimbang mereka lupa di mana.

“Kita tidak menggunakan anjing pengesan (K9). Orang suku Batek ini mahir dalam hutan, jadi pengetahuan mereka cukup penting dalam membantu operasi pencarian ini,” katanya.

1085 dibaca
Kelihatan kenderaan polis menunggu di sekatan dekat Felda Aring 10 dipercayai akan membawa keluar mayat Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang. - NSTP/Syamsi Suhaimi
Berita Harian X