Khamis, 13 Jun 2019 | 12:01pm
Anggota polis merampas dadah jenis ganja serta heroin dalam Ops Sarang di kebun getah Kampung Mela. - Ihsan PDRM
Anggota polis merampas dadah jenis ganja serta heroin dalam Ops Sarang di kebun getah Kampung Mela. - Ihsan PDRM

Padah cuba lari, lelaki ditahan bersama dadah

KUANTAN: Cubaan seorang lelaki disyaki penagih dadah melarikan diri daripada polis ketika Ops Sarang di Kampung Mela di sini gagal apabila suspek berjaya ditahan bersama sejumlah dadah jenis ganja dan heroin, pagi semalam.

Dalam operasi jam 11 pagi itu, suspek berusia 52 tahun itu cuba melarikan diri selepas sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menyerbu kebun getah di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata bagaimanapun, suspek berjaya ditahan sebelum hasil pemeriksaan fizikal ke atasnya gagal menemui bahan terlarang.

“Namun hasil pemeriksaan di kawasan sekitar menemui satu beg galas di atas tanah mengandungi tiga ketulan mampat dedaun kering dibungkus dengan plastik lutsinar disyaki ganja seberat 235.72 gram yang dianggarkan bernilai RM500.

“Turut ditemui satu bekas plastik dengan dua paket plastik lutsinar iaitu setiap paket berisi ketulan warna putih disyaki heroin seberat 8.26 gram bernilai RM400,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing lelaki berasal dari Subang Jaya itu positif dadah jenis methaphetamine dan suspek mengaku dadah dijumpai adalah miliknya serta diperoleh di kawasan Mela, di sini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang mekanik ditahan dalam Ops Tapis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu, heroin dan ganja dengan nilai rampasan keseluruhan RM680 di Padang Tengku di sini, hari ini.

Azli berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan ketika serbuan ke atas sebuah bilik di rumah kongsi kilang papan kira-kira jam 1.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas lelaki itu tidak menemui apa-apa barang terlarang. Namun hasil pemeriksaan di dalam bilik itu menemui satu bekas plastik warna biru di atas lantai bilik tidur lelaki itu.

“Kita menemui satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal dan 35 keratan tiub straw pelbagai warna berisi serbuk kristal disyaki dadah syabu seberat 10.26 gram bernilai RM500,” katanya.

Tambahnya, turut dijumpai satu plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 6.30 gram bernilai RM50 dan satu peket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan warna putih disyaki heroin seberat 17.30 gram bernilai RM130.

“Hasil siasatan awal lelaki itu mengaku dadah terbabit adalah miliknya dan diperolehi dari kawasan Kajang, Selangor dan pemeriksaan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

142 dibaca
Berita Harian X