Rabu, 12 Jun 2019 | 8:35pm
Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Lembaga Pengarah SRC tidak tahu RM2 bilion masuk akaun 'misteri' SRC

KUALA LUMPUR: Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd tidak pernah dimaklumkan mengenai kemasukan wang berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ke dalam satu akaun ‘misteri’ milik syarikat itu.

Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 54, yang menjawab soalan peguam Harvindejit Singh, berkata wang berkenaan iaitu pinjaman SRC daripada KWAP itu dimasukkan dalam akaun ‘misteri’ berkenaan pada 29 Ogos 2011.

Saksi ke-39 pendakwaan itu berkata demikian ketika Harvinderjit mengemukakan kepadanya penyata bank dengan nombor akaun berakhir 736 milik SRC.

Bagaimanapun, Ismee berkata, dana terbabit dikeluarkan pada tarikh sama.

“Ahli Lembaga Pengarah juga tidak mengetahui dana itu dikeluarkan daripada akaun terbabit.

“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil tidak memaklumkan mengenai semua transaksi berkenaan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

Ismee dalam keterangannya berkata, akaun itu dibuka CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan mempunyai empat penandatangan sah termasuk Nik Faisal.

Beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah juga tidak mengetahui dana dimasukkan dalam akaun AmBank dengan nombor berakhir 736 turut dikeluarkan pada hari sama.

“Lembaga Pengarah SRC International tidak mengetahui kewujudan akaun AmBank yang didaftar atas nama syarikat, jadi Lembaga Pengarah tidak pernah mempunyai kawalan terhadapnya,” katanya.

Ismee berkata, Ahli Lembaga Pengarah SRC juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan transaksi pengeluaran wang berjumlah RM15 juta yang diterima SRC daripada kerajaan sebagai geran permulaan.

Sementara itu, Ismee turut bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa Nik Faisal tidak pernah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa beliau (Nik Faisal) memohon kepada KWAP untuk memindahkan RM2 bilion kepada akaun Ambank yang didaftarkan di bawah SRC.

Sebelum itu, Ismee berkata, Lembaga Pengarah SRC tidak mengetahui pembukaan akaun syarikat dengan nombor akaun berakhir 736.

Harvinderjit: Tiga hari selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah pada Ogos 2011, Nik Faisal menandatangani surat kepada KWAP bagi memindahkan RM2 bilion kepada akaun berakhir 736?

Saksi:Ya.

Harvinderjit: Kita beralih kepada pelanggaran lebih serius. Lembaga Pengarah tidak pernah diberitahu mengenai pemindahan dana itu dan langsung tidak sedar mengenai perkara itu?

Saksi: Nampaknya begitulah.

Harvinderjit: Saya nampak Tan Sri macam terkejut tetapi itulah kenyataannya. Lihat pada entri Ogos 2011 (pada penyata akaun Ambank) dengan nama SRC yang mana RM2 bilion melalui RM500 juta setiap satu dipindahkan pada akaun ini pada 29 Ogos 2011. Pada hari sama, keseluruhan RM2 bilion dipindah keluar.

Saksi: Lembaga Pengarah tidak mengetahui mengenai akaun ini.

Sementara itu menjawab soalan Harvinderjit , Ismee berkata, Lembaga Pengarah berada ‘dalam kegelapan’ mengenai kewujudan akaun berkenaan.

Katanya, ini kerana Lembaga Pengarah tidak pernah mempunyai kawalan ke atas akaun berkenaan kerana tidak mengetahui mengenainya.

Harvinderjit: Jadi, akaun ini tidak pernah sesekali berada di bawah kawalan Lembaga Pengarah sepanjang kamu menjadi pengarah SRC?

Saksi: Ya

Harvinderjit: Kalau Lembaga Pengarah tidak tahu, sudah tentu ia tidak akan berada di bawah kawalan mereka?

Saksi: Ya

Harvinderjit: Dengan tidak mendedahkan kewujudan akaun ini, ia satu langkah memastikan kawalan Lembaga Pengarah dapat dilangkaui?

Saksi: Ya

1706 dibaca
Berita Harian X