Rabu, 12 Jun 2019 | 3:15pm
ISMEE Ismail keluar dari kamar Mahkamah pada perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Lembaga Pengarah SRC tidak tahu ada surat minta jaminan kerajaan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd tidak pernah dimaklumkan mengenai permohonan syarikat itu mendapatkan jaminan kerajaan bagi permohonan pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada 2011.

Permohonan berkenaan dizahirkan melalui surat ditandatangani Nik Faisal Ariff Kamil selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC yang dialamatkan kepada Kementerian Kewangan.

Surat terbabit dikemukakan peguam Harvinderjit Singh, yang memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya memperoleh dokumen itu daripada pihak pendakwaan.

Harvinderjit mengemukakan surat itu ketika menyoal balas saksi ke-39 pendakwaan, bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 54, di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Harvinderjit mencadangkan kepada Ismee bahawa saksi selaku Ahli Lembaga Pengarah SRC tidak diberitahu mengenai surat itu, yang kemudian dijawabnya “Ya.”

Harvinderjit: Ini adalah perkara material yang disembunyikan Nik Faisal daripada Lembaga Pengarah?

Saksi: Seharusnya begitu

Harvinderjit: Surat ini membayangkan bahawa Nik Faisal bertindak mewakili syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) (syarikat induk SRC)?

Saksi: Ya

Harvinderjit: Bukankah tiada resolusi yang memberikan kuasa kepada Nik Faisal berbuat begitu bagi pihak 1MDB?

Saksi: Ya

Ismee turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Lembaga Pengarah SRC tidak diberitahu mengenai pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP melalui Nik Faisal.

Malah, surat permohonan pinjaman ditandatangani Nik Faisal dialamatkan kepada Najib bertarikh 3 Jun 2011 turut tidak menyatakan asas pinjaman adalah berdasarkan kepada cadangan usaha sama membabitkan syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, Aabar Investment PJS.

Ismee bersetuju dengan cadangan peguam dan turut menyatakan Lembaga Pengarah juga tidak pasti adakah wujud usaha sama berkenaan.

504 dibaca
Berita Harian X