Rabu, 12 Jun 2019 | 12:21am
Anggota bomba dan penyelamat Kuala Krai mengeluarkan mangsa dari kereta Perodua Kancil di Kilometer 59, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kampung Keroh. - NSTP/Ihsan Pembaca

Dua maut di Kampung Keroh

KUALA KRAI: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 59, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kampung Keroh di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, penumpang PERODUA Kancil Mohd Faizul Che Aziz, 22, maut di tempat kejadian manakala pemandu, Che Aziz Shepii, 58 meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kuala Krai.

Pemandu Toyota Wish berusia 33 tahun cedera di dada, manakala 17 pemandu dan penumpang empat kenderaan lain, termasuk seorang bayi berusia 56 hari tidak mengalami kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai , Deputi Superintenden Wan Fauzi Wan Ishak, berkata kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu PERODUA Kancil, PERODUA Kelisa, PROTON Saga, Toyota Wish dan Honda Jazz.

Katanya, hasil siasatan mendapati Toyota Wish dari arah Kota Bharu ke Gua Musang masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sisi kanan Honda Jazz.

“Toyota Wish itu kemudian berlanggar secara berdepan dengan PERODUA Kancil dinaiki mangsa.

“Kereta PERODUA Kelisa dan PROTON Saga yang berada di belakang PERODUA Kancil tidak sempat mengelak turut terbabit dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kemalangan mengakibatkan penumpang PERODUA Kancil maut di tempat kejadian, manakala pemandunya maut di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

1111 dibaca
Berita Harian X