Selasa, 11 Jun 2019 | 8:34pm
Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail hadir pada perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Lembaga pengarah tidak persoal kedudukan Nik Faisal

KUALA LUMPUR: Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd tidak pernah mempersoalkan kedudukan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil, sebagai individu tunggal yang berhubung dengan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, dalam keterangannya, berkata sepanjang tempoh perkhidmatan di SRC, tidak pernah ada pertemuan antara lembaga pengarah dan Najib sebagai Penasihat Emeritus SRC, tetapi melalui Nik Faisal sebagai individu tunggal atau pengantara.

Katanya, sepanjang berada di SRC tiada ahli Lembaga Pengarah meminta nasihat daripada Penasihat Emeritus.

"Kesemua ahli lembaga pengarah hanya mendengar kata lisan dari Nik Faisal. Lembaga pengarah juga tidak pernah mencatat sebarang pengesahan bertulis selain tiada perbincangan rasmi dengan Najib sebagai Penasihat Emeritus.

"Ini berikutan kata-kata Nik Faisal cukup meyakinkan," katanya.

Ditanya kelebihan dipilih untuk menduduki jawatan dalam SRC, Ismee berkata ahli lembaga pengarah lain turut berpengalaman luas dalam mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat.

"Tiada halangan untuk perdana menteri melantik individu layak menduduki jawatan dalam syarikat seperti peruntukan memorandum persatuan SRC.

"Sungguhpun malu, saya yakin pelantikan itu berdasarkan kemampuan saya untuk melindungi kepentingan syarikat," katanya.

Sementara itu, Ismee berkata, Lembaga Pengarah SRC mungkin mengetahui mengenai cadangan pinjaman pertama RM3.95 bilion syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) pada tahun 2011.

Ia berdasarkan kepada surat permohonan pinjaman bertarikh 3 Jun 2011 yang ditandatangani Nik Faisal sebagai ketua pegawai eksekutif SRC ketika itu.

Saksi ke-39 pendakwaan itu berkata demikian ketika dirujuk kepada surat berkenaan oleh peguam Harvinderjit Singh ketika sesi soal balas.

Ismee bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Lembaga Pengarah SRC mungkin mengetahui perkara terbabit berdasarkan kepada surat berkenaan.

Saksi itu pada mulanya berkata beliau selaku pengerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SRC, tidak mengetahui langsung mengenai perkara itu.

Katanya, beliau juga tidak dapat mengingati sama ada Lembaga Pengarah pernah membincangkan mengenai cadangan permohonan pinjaman dalam mesyuaratnya.

Dalam pada itu, Ismee berkata Najib memainkan beberapa peranan dalam perjalanan syarikat SRC.

Katanya, Najib adalah Penasihat Emeritus SRC berdasarkan kepada pindaan Klausa 117 dalam Artikel Persatuan syarikat.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu juga adalah pemegang saham SRC dalam kapasiti sebagai Menteri Kewangan berikutan ia dimiliki Menteri Kewangan (Diperbadankan).

"Saya mengikut arahan Perdana Menteri yang juga Penasihat Emeritus SRC, Menteri Kewangan dan wakil korporat MKD," katanya.

831 dibaca
Berita Harian X