Selasa, 11 Jun 2019 | 6:09pm
CERMIN hadapan kereta yang dipecahkan seorang lelaki menggunakan topi keledarnya kerana tidak berpuas hati akibat salah faham ketika memakir kenderaan di Jalan Sia Her Yam Segamat. STR/Ahmad Ismail.

Lagi kes hentak cermin kereta guna topi keledar

SEGAMAT: Padah bersikap panas baran, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan kerana menghentak cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar di Jalan Sia Her Yam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek didakwa melakukan perbuatan berkenaan kerana tidak berpuas hati terhadap seorang pemandu lelaki berusia 57 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang menunggang motosikal mendakwa pemandu terbabit tidak memberi isyarat sebelum membelok ke kiri dan memarkir kenderaannya.

MOTORSIKAL yang menghalang laluan kereta mangsa kerana tidak berpuas hati akibat salah faham ketika memakir kenderaan di Jalan Sia Her Yam Segamat. STR/Ahmad Ismail.

“Mangsa pula mendakwa dia menyedari suspek berada di belakangnya dan sudah memberi isyarat sebelum membelok.

“Suspek yang berhenti di hadapan kereta itu, menghentak cermin hadapan menggunakan topi keledar menyebabkan retak dan berlubang. Mangsa yang tidak cedera membuat laporan polis tidak lama kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Raub berkata, polis berjaya mengesan suspek dan menahannya di rumahnya di Jementah, jam 5.30 pagi tadi.

“Siasatan mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Pada 28 Mei lalu, tersebar di media sosial rakaman video cermin depan kereta seorang wanita dipecahkan oleh seorang penunggang motosikal yang diberi gelaran 'Abang Botak' akibat membunyikan hon.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu namun laluannya dihalang oleh penunggang lelaki terbabit.

Berang dengan tindakan pemandu itu, lelaki berkenaan bertindak untuk memberhentikan motosikalnya dan memecahkan cermin kereta menggunakan topi keledar.

Suspek berjaya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas disabitkan kesalahan memecahkan cermin hadapan kereta menggunakan topi keledar.

Berita Harian X