Selasa, 11 Jun 2019 | 4:42pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail, keluar dari kamar Mahkamah pada perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Saifullizan Tamadi.

Najib pinda Artikel Persatuan SRC

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak membuat pindaan terhadap Artikel Persatuan SRC International Sdn Bhd yang memberikan kuasa kepadanya untuk mengawal perjalanan syarikat itu.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 54, dalam keterangan beliau, berkata pindaan itu dilakukan Najib yang juga Penasihat Emeritus SRC pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat berkenaan.

Saksi ke-39 pendakwaan itu ketika dirujuk dengan Minit Mesyuarat EGM terbabit oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, berkata pindaan itu hanya diketahui pemegang saham melalui minit mesyuarat berkenaan bertarikh 23 April 2012, yang ditandatangani Najib.

Ismee berkata, pindaan itu secara tidak langsung memberikan kuasa kepada Najib untuk mengawal syarikat berkenaan yang turut berada di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Minit mesyuarat itu menyatakan Artikel 117 ditambah dalam Memorandum dan Artikel Persatuan SRC.

Bagaimanapun, lokasi di mana mesyuarat itu diadakan tidak didedahkan.

“Penambahan itu hanya dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan SRC, Nik Faisal Ariff Kamil ketika mesyuarat Lembaga Pengarah pada 8 Jun 2012,” katanya.

Ismee berkata, implikasi ke atas Artikel 117 itu juga adalah SRC perlu mengambil kira nasihat Penasihat Emeritus SRC dalam hal membabitkan perkara material dan strategik.

Ishak: Siapa Penasihat Emeritus?

Ismee: Najib, yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Ishak: Adakah Penasihat Emeritus mempunyai kawalan dalam aspek pentadbiran Lembaga Pengarah SRC dan syarikat?

Ismee: Seharusnya ada kawalan.

Ishak: Pada pandangan kamu, dengan kewujudan artikel 117, adakah ini menunjukkan Penasihat Emeritus mempunyai kawalan terhadap SRC daripada peringkat Lembaga Pengarah lagi?

Ismee: Ada.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, Ismee berkata beliau tidak melihat Najib menandatangani minit mesyuarat itu atau berjumpa dengannya ketika EGM diadakan.

Ismee dalam keterangannya juga berkata, SRC turut menerima geran permulaan RM20 juta daripada kerajaan dan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Katanya, kesemua sumber kewangan itu digunakan untuk pelaburan dan modal kerja bagi SRC.

Menjawab soalan Harvinderjit mengenai Minit Mesyuarat SRC pada 2013, Ismee berkata beliau hanya mengetahui minit mesyuarat berkenaan tidak mengandungi tandatangan miliknya selepas dokumen terbabit ditunjukkan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harvinderjit: Adakah pegawai SPRM meminta dokumen spesifik dokumen daripada kamu?

Ismee: Tidak, tetapi dia ada minta sama ada saya memiliki dokumen lain berkaitan SRC di rumah.

“Saya kemudian pulang ke rumah dan mencari dokumen berkaitan dan menemuinya dalam beg pejabat saya,” katanya.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

2816 dibaca
Berita Harian X