Selasa, 11 Jun 2019 | 12:17pm
BEKAS Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail hadir pada perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

SRC terima RM20 juta daripada kerajaan

KUALA LUMPUR: Syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC International) menerima geran permulaan sebanyak RM20 juta daripada kerajaan.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 54, dalam keterangannya pada perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, pada sesi pemeriksaan utama, Ismee berkata, SRC turut menerima pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Ismee yang juga saksi pendakwaan ke-39 berkata, semua sumber kewangan itu digunakan untuk pelaburan dan modal kerja bagi syarikat SRC.

“Sebarang perkara membabitkan hal material dan strategik syarikat juga akan dirujuk kepada Penasihat Emiritus pada ketika itu disandang Najib,” katanya.

Menjawab soalan Ishak mengenai implikasi merujuk kepada Penasihat Emeritus berhubung perjalanan syarikat, Ismee berkata, SRC perlu mengambil kira nasihat beliau dalam hal membabitkan perkara material dan strategik.

Ishak: Siapa Penasihat Emeritus?

Ismee: Najib, yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Ishak: Adakah Penasihat Emeritus mempunyai kawalan dalam aspek pentadbiran Lembaga Pengara SRC dan syarikat?

Ismee: Seharusnya ada kawalan

Ismee berkata demikian pada perbicaraan kes SRC International yang masuk hari ke-22 di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

2507 dibaca
Berita Harian X