Isnin, 10 Jun 2019 | 8:10pm

Pemandu bas maut dipercayai langgar lampu merah

KEPALA BATAS: Seorang pemandu bas Rapid Penang yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas terbabit kemalangan di lampu isyarat dekat Jalan Paya Keladi di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5.10 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 47 tahun yang sedang menunggang motosikal dipercayai melanggar lampu merah dan menyebabkan dia merempuh sebuah kereta sedang membelok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, mangsa ketika itu dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Pinang Tunggal menuju Paya Keladi di sini, manakala pemandu kereta itu pula dari Paya Keladi ke Taman Bertam.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta jenis Toyota Innova sedang membelok kenderaannya dan tiba-tiba datang motosikal ditunggang mangsa melanggar kereta terbabit di bahagian kiri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan terbabit, selain menyeru pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ketika memandu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X