Isnin, 10 Jun 2019 | 5:33pm
Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail. - Foto BERNAMA

Letak jawatan, tidak setuju pengurusan SRC - Ismee

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau meletakkan jawatan dalam SRC International Sdn Bhd kerana tidak bersetuju dengan pengurusan akaun dan kewangan syarikat itu.

Ismee, 54, yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC dalam kapasiti sebagai Lembaga Pengarah 1MDB, mendedahkan perkara itu pada perbicaraan kes SRC International yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ismee berkata peletakan jawatan itu dikemukakan pada 6 Mei 2014 dan diterima secara rasmi bermula pada 15 Ogos 2014, di mana dalam tempoh itu beliau tidak lagi aktif membabitkan diri dalam pengurusan SRC International.

“Saya meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan syarikat yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil terutama berhubung akaun dan kewangan syarikat.

“Kebanyakan tindakan berkaitan SRC dilakukan oleh Nik Faisal yang akan membentangkan sebarang kertas kerja kepada Lembaga Pengarah untuk diputuskan dan akan mengambil tindakan susulan bagi setiap projek yang ingin dilaksanakan oleh SRC,” katanya pada perbicaraan kes yang masuk hari ke-21.

Ismee berkata sebarang keputusan Lembaga Pengarah SRC perlu mendapat nasihat daripada Penasihat Emeritus iaitu Najib.

Ketika membaca pernyataan saksi, Ismee berkata jika ada sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian Najib, tindakan itu akan dilakukan oleh Nik Faisal kerana hanya beliau yang akan bertindak sebagai penghubung antara Lembaga Pengarah SRC dan Najib.

“Saya pernah menimbulkan persoalan berkenaan isu pentadbiran dan urusan kerja harian SRC, namun Nik Faisal akan membalas dengan menyatakan perkara itu dibincangkan dan dipersetujui oleh kerajaan.

“Pada pendapat saya, kerajaan yang dikatakan oleh Nik Faisal merujuk kepada Najib,” katanya yang memberi keterangan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada prosiding itu, Ismee turut memberitahu mahkamah, beliau sedia maklum bahawa Najib selaku Perdana Menteri pada ketika itu melantiknya sebagai salah seorang Pengarah SRC dan mempunyai kuasa untuk memecatnya.

“Saya sedar dan mengetahui bahawa kuasa mutlak untuk melantik dan memecat mana-mana Lembaga Pengarah SRC adalah terletak di dalam tangan Najib,” katanya.

Ismee dalam keterangannya juga berkata, pada tahun 2011, Nik Faisal membentangkan cadangan untuk permohonan pembiayaan pertama yang akan disokong oleh surat jaminan Kerajaan Malaysia berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Diperbadankan (KWAP).

Pada 2012, katanya, Nik Faisal sekali lagi membentangkan cadangan permohonan pembiayaan tambahan kedua berjumlah RM2 bilion daripada KWAP dengan mengikut terma dan syarat sepertimana perjanjian pinjaman pertama.

“Daripada jumlah pembiayaan sebanyak RM4 bilion itu, kira-kira RM40 juta digunakan untuk pembelian hartanah yang kemudian dijual kepada salah satu anak syarikat SRC, Gandingan Menteri Sdn Bhd (GMSB),” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff berhubung siapa yang menjadi pemegang saham SRC, Ismee menjawab: “Ketika itu 1MDB.

Ishak: Siapa pemegang saham 1MDB?

Ismee: Menteri Kewangan diperbadankan (MKD).

Ishak: Siapa yang menandatangani bagi pihak MKD?

Ismee: Ketika itu Najib selaku Perdana Menteri.

Ishak: Siapa yang menandatangani minit mesyuarat SRC selepas diletakkan di bawah MKD?

Ismee: Najib.

1946 dibaca
Berita Harian X