Ahad, 9 Jun 2019 | 8:17pm
DUA beranak maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Tomis Jaya. - NSTP/Recqueal Raimi

Dua beranak maut, seorang parah nahas kereta bertembung 4WD

TUARAN: Dua beranak maut manakala seorang lagi parah selepas Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Tamparuli-Ranau, Kampung Tomis Jaya, Tamparuli di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa, Julia Panikir, 42, yang duduk di tempat penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Anak perempuan mangsa, Litalana Erna Stomon, 17, pula dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ranau.

Seorang lagi anak lelaki keluarga itu, Nicholes Saputra Stomon, 11, terselamat namun dilaporkan parah dengan kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata pemandu kenderaan itu, Stomon Nasir, 46, yang berasal dari Kampung Kiau Bersatu, Kota Belud, bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 36 tahun bersama lima penumpang berusia 8 sehingga 59 tahun bergerak dari arah Kota Kinabalu menghala Ranau.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, kenderaan pacuan empat roda itu bertembung dengan kereta dinaiki mangsa sekeluarga dari arah bertentangan.”

“Pemandu Toyota Hilux dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.41 pagi.

Katanya, sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama empat anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan segera.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati empat mangsa yang menaiki Proton Iswara sudah dikeluarkan orang awam.

“Anggota bomba kemudiannya menghantar kanak-kanak yang parah ke hospital Tuaran manakala mangsa lain dihantar pasukan perubatan menggunakan ambulans ke Hospital Ranau,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.40 pagi.

Berita Harian X