Jumaat, 7 Jun 2019 | 10:36pm
KEADAAN kereta mangsa dalam dalam kemalangan di Lebuhraya Mahameru. - Foto Ihsan pembaca

2 maut kereta terbabas rempuh jejantas

KUALA LUMPUR: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Mahameru, di sini, malam ini.

Kemalangan berlaku selepas kereta yang dinaiki empat wanita itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang jejantas kira-kira pada jam 7 malam.

Kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 malam berhubung kejadian itu.

“Sebuah jentera bersama sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul digerakkan ke lokasi kemalangan.

“Pasukan diketuai Othman Abu Bakar yang tiba di lokasi sembilan minit kemudian mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kenari terbabas dan melanggar tiang jejantas.

“Empat mangsa terbabit, dua mangsa berumur lingkungan 20-an parah manakala dua lagi mangsa berumur lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 8.11 malam.

936 dibaca
Berita Harian X