Rabu, 5 Jun 2019 | 4:07pm
Seorang lelaki berusia 44 tahun lemas di pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar di Kota Tinggi, tengah hari tadi. - Ihsan Bomba

Lelaki ditemui lemas di pantai Tanjung Balau

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 44 tahun lemas di pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar di Kota Tinggi, tengah hari tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa mahu menyelamatkan dua individu lain yang juga dikatakan lemas ketika mandi pada ketika itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.30 tengah hari.

“Disahkan laporan diterima jam 1.30 tengah hari tadi membabitkan kes lemas seorang lelaki berusia 44 tahun.

“Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Abd Rahim Abd Rani, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1 tengah hari.

“Sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota dikerah ke lokasi kejadian dan maklumat awal terdapat tiga individu terbabit dalam kes ini.

“Mangsa yang lemas dikatakan meninggal dunia ketika menyelamatkan dua lagi individu lain dan lelaki berkenaan diambil oleh pelancong yang berada di kawasan itu sebelum membawanya ke daratan,” katanya.

Abd Rahim berkata, bagaimanapun dua individu seorang lelaki dan wanita yang belum diketahui identiti mereka, terselamat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Berita Harian X