Isnin, 3 Jun 2019 | 11:47pm
MOHAMAD Akram maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 120, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kemasik, Kemaman. - Foto Rosli Ilham

Penuntut UniKL maut motosikal rempuh kereta

CHUKAI: Seorang penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta di Kilometer 120 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kompleks Rantau Petronas, dekat Kemasik, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang, Mohamad Akram Nordin, 25, dari Gong Chengal, Kemasik meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari Kemasik menghala ke Kerteh.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Proton Wira dikatakan keluar dari simpang susur keluar untuk masuk ke jalan utama menghala ke Kemaman.

“Keadaan jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa gagal membrek lalu merempuh bahagian pintu belakang Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan,” katanya.

Mohd Said berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Katanya, pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Berita Harian X