Isnin, 3 Jun 2019 | 4:07pm
Seorang isteri bertindak membelasah suaminya menggunakan batang besi di rumah mereka di Kampung Panji, di Lahad Datu, kelmarin. - Ihsan PDRM

Isteri lagak samseng belasah suami guna batang besi

LAHAD DATU: Berang ditegur kerana asyik bermain judi dalam talian, seorang isteri bertindak membelasah suaminya menggunakan batang besi di rumah mereka di Kampung Panji, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa berusia 38 tahun dikatakan menegur isterinya yang sibuk mencari talian telefon bimbitnya kerana mahu bermain judi dalam talian.

Berang dengan teguran suaminya, wanita keluar dari rumah dan masuk semula sambil membawa batang besi sebelum bertindak memukul suaminya pada bahagian muka dan badan sambil menjerit memarahi mangsa.

Mangsa yang luka pada kening, pipi dan dada membuat laporan polis semalam selepas menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata bertindak atas laporan dibuat mangsa, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Suspek berusia 40 tahun ditahan pada jam 2 pagi tadi dan turut dirampas batang besi yang digunakan dalam kejadian itu. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati pasangan itu berkahwin sejak 2004.

“Mangsa bekerja mengutip besi buruk, manakala isterinya (suspek) hanya suri rumah. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan seseorang menggunakan senjata,” katanya.

Berita Harian X