Isnin, 3 Jun 2019 | 1:42pm

Pukul isteri dengan penyangkut baju

JERTIH: Hanya kerana perselisihan faham kecil, seorang lelaki tergamak memukul isterinya menggunakan besi penyangkut baju dalam kejadian di Kampung Gong Bayor, Kampung Raja, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa berusia 31 tahun berada di rumah sebelum berlaku perselisihan faham dengan suaminya berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata pasangan itu pada awalnya sekadar bertikam lidah sebelum suspek yang gagal mengawal perasaan marah bertindak mengambil besi penyangkut baju lalu menyerang mangsa.

“Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa cedera di muka dan kepala sebelum wanita terbabit mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan dibuat mangsa, suspek yang juga seorang peniaga ditahan kira-kira jam 1 pagi semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berita Harian X