Ahad, 2 Jun 2019 | 4:34pm
- Foto Hiasan

Polis tahan remaja leka tonton aksi mat rempit

KUALA LANGAT: Seorang remaja 14 tahun ditahan ketika sedang leka menonton aksi berbahaya mat rempit di Jalan Banting Baru, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, remaja terbabit ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat lokasi terbabit selalu dijadikan tempat mat rempit mempamerkan aksi masing-masing.

Katanya, dalam serbuan berakhir jam 5 pagi itu, sebanyak 30 motosikal ditahan dan 35 individu diperiksa pihaknya.

“Polis turut mengeluarkan 26 saman atas pelbagai kesalahan yang dilakukan mereka membabitkan tiada lesen, tiada cermin sisi, topi keledar, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai kenderaan.

“Polis turut menyita lima motosikal kerana tiada cukai jalan,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Azizan berkata, remaja berusia 14 tahun itu adalah tahanan termuda yang ditahan.

“Polis akan meneruskan operasi ini sehingga Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku khususnya di kawasan ‘hot spot’ mat rempit di daerah ini,” katanya.

232 dibaca
Berita Harian X