Sabtu, 1 Jun 2019 | 1:11pm

Hasrat mencari `duit raya' berakhir dalam lokap

JERTEH: Keghairahan peniaga warga Indonesia menjadikan Pekan Jerteh, di sini sebagai lubuk mendapatkan keuntungan sempena ketibaan Syawal berakhir selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia semalam.

Hasil serbuan itu, sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 40-an bakal menyambut Aidilfitri dalam lokap selepas ditahan bersama lima lagi rakan senegara atas kesalahan melanggar Akta Imigresen.

Selain tujuh warga Indonesia, masing-masing empat lelaki dan tiga wanita, turut ditahan tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh, menjadikan keseluruhannya 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Pengarah Imigresen Terengganu, Rahim Hanafi, berkata selain Pekan Jertih, pihaknya turut melakukan serbuan di beberapa tapak projek pembinaan rumah di Setiu, selain pemeriksaan di kedai perabot dan premis mencuci kereta.

“Semua PATI (pendatang asing tanpa izin) ini berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan dalam Ops Bersepadu (Sapu, Minyak dan Belanja) membabitkan 14 pegawai bermula 8.30 pagi hingga 2.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

.

Katanya, dalam operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Terengganu, Salihin Salleh itu, pihaknya memeriksa seramai 58 pekerja warga asing membabitkan 12 lokasi serbuan.

“Seramai 11 daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Tiga disabitkan kesalahan Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa (enam orang) dan dua orang kerana melanggar syarat pas mengikut Seksyen 39 Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya.

Rahim berkata, ketika serbuan, ada PATI yang terkejut dengan kehadiran pihaknya di lokasi serbuan cuba melarikan diri, namun gagal apabila usaha keras pihaknya berjaya menghalang cubaan berkenaan.

Menurutnya, pihak imigresen akan terus meningkatkan operasi tanpa mengira masa termasuk sepanjang Ramadan.

“Keletihan berpuasa bukan halangan untuk kami melakukan operasi secara berterusan dalam usaha menahan pekerja asing yang berada secara haram di negeri ini,” katanya.

Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X