Sabtu, 1 Jun 2019 | 11:44am
ANGGOTA bomba mengusung mangsa serangan buaya dihantar ke Hospital Marudi. NSTP/IHSAN BOMBA

Berpantang maut sebelum ajal

MIRI: Separuh badannya sudah berada dalam rahang buaya, namun seorang lelaki mengerah segala kudratnya untuk melepaskan diri dari dibaham reptilia ganas itu.

Itu yang berlaku kepada Christopher Jau Lihan, 31, yang cedera parah selepas bergelut dengan buaya di sungai kampung Kuala Tutoh, Marudi, di sini tengah malam tadi.

Kejadian itu berlaku ketika Christopher yang menaiki perahu sedang menjala ikan di sungai apabila reptilia berkenaan tiba-tiba muncul di permukaan air.

Sumber memberitahu BH, Christopher yang terkejut dengan kehadiran buaya itu cuba melarikan diri namun tidak sempat apabila ia melibas ekornya menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Beliau berkata, buaya itu kemudian menyambar Christopher, namun mangsa berusaha sedaya upaya melepaskan diri.

“Mangsa berjaya melepaskan diri, namun ketika bergelut, buaya itu menggigit kaki dan bahagian badannya menyebabkan mangsa mengalami luka teruk.

“Dia bernasib baik apabila buaya itu melepaskan gigitannya. Mujur kejadian itu disedari isterinya yang berada di pondok berhampiran dan bergegas membantu suaminya yang parah naik ke darat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.57 pagi tadi dari pihak Hospital Marudi bagi meminta bantuan khidmat khas mengangkat mangsa yang dari bot untuk dibawa ke hospital.

“Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dikejarkan ke jeti bot ekspres Marudi dan kemudian membantu mengusung mangsa dari bot untuk dipindahkan ambulans sebelum dikejarkan ke Hospital Marudi.

“Mangsa dalam keadaan sedar, tetapi mengalami pendarahan yang banyak akibat luka yang agak besar di kaki kanan dan bahagian badannya,” katanya.

Poh Kiong berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Miri pada jam 5 pagi tadi berikutan kecederaan dialaminya agak parah.

Berita Harian X