Sabtu, 1 Jun 2019 | 8:13am
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Kulim membantu mangsa kanak-kanak memakaikan jaket keselamatan untuk berpindah di Pusat Pemindahan Sementara di Masjid Sungai Seluang berikutan banjir kilat yang berlaku dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi. NSTP/IHSAN APM

3 keluarga dipindahkan, air sungai melimpah

KULIM: Hujan lebat lebih satu jam awal pagi tadi menyebabkan Sungai Seluang, di sini melimpah sehingga mengakibatkan banjir kilat pada paras 0.7 meter di kawasan sekitarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiga keluarga terpaksa dipindahkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim/Bandar Baharu ke Masjid Sungai Seluang selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Leftenan Abdul Rahim Kamaruddin, berkata seramai enam anggotanya dan seorang pegawai tiba di lokasi pada jam 1.15 pagi bagi membantu penduduk.

Katanya, anggota APM kemudian meminta tiga keluarga berpindah segera ke pusat pemindahan bagi mengelak bahaya sekiranya air terus naik.

“Jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai sembilan penduduk berusia antara tujuh hingga 70 tahun.

“Kesemua mereka masih ditempatkan di Masjid Sungai Seluang sementara menunggu air sungai kembali surut,” katanya.

Berita Harian X