Jumaat, 31 Mei 2019 | 10:14pm
AZISMAN menyerahkan juadah berbuka puasa kepada anggota trafik Bukit Aman dan Rakan Sahabat KESAS di Rehat dan Rawat (R&R) Kinrara, Lebuhraya Shah Alam (KESAS). NSTP/Rosela Ismail

Memandu lebih had laju dominasi kesalahan trafik

KUALA LUMPUR: Saman kerana memandu melebihi had laju mendominasi jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) untuk tempoh dua hari Op Selamat 15 sempena Aidilfitri kali ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata sebanyak 46,193 saman dikeluarkan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan untuk tempoh dua hari Ops Selamat 15 yang dilancarkan Rabu lalu.

“Daripada 46,193 saman, antara 20 hingga 30 peratus saman yang dikeluarkan sepanjang dua hari Ops Selamat 15 membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju.

“Kesalahan dirakamkan menerusi kamera perangkap had laju oleh anggota kita di lapangan serta kamera perangkap had laju digital yang dipasang di sepanjang lebuh raya seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas berbuka puasa bersama pegawai dan anggota JSPT yang bertugas semasa Op Selamat 15 di kawasan rehat dan rawat (R&R) Kinrara di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) di sini.

Katanya, kewujudan 14 kamera perangkap had laju di 13 lokasi sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan itu bertujuan untuk mendidik pemandu dan bukannya untuk menghukum.

“Penguatkuasaan akan dibuat secara terbuka, tiada sorok-sorok agar semua pemandu tahu kita buat pemantauan.

“Kita berharap pengguna jalan raya memandu secara lebih berhemah demi keselamatan mereka serta pemandu lain,” katanya yang turut memaklumkan saman maksimum RM300 akan dikenakan atas kesalahan memandu melebihi had laju.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak mengambil kesempatan menggunakan lorong kecemasan sekiranya berlaku kesesakan semasa memandu di lebuh raya.

“Lorong kecemasan adalah lorong khas yang akan digunakan oleh kenderaan pasukan penyelamat, polis serta petugas lebuh raya sekiranya berlaku kemalangan.

“Namun ada kemungkinan kita akan buka lorong kecemasan kepada pemandu awam sekiranya berlaku kesesakan luar biasa sebagai satu pelan kontinjensi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang akan menggunakan lebuh raya untuk ke destinasi masing-masing sempena cuti Aidilfitri supaya merancang perjalanan masing-masing agar tidak terperangkap lama dalam kesesakan.

Sementara itu, katanya sebanyak 30 kemalangan maut membabitkan 35 kematian direkodkan sepanjang dua hari Op Selamat 15 sehingga semalam.

Menurutnya, walaupun jumlah itu masih berada di kadar yang tidak membimbangkan, orang ramai dinasihatkan mengamalkan cara pemanduan berhemah dan menyelenggara kenderaan masing-masing untuk mengelak berlaku kemalangan.

Berita Harian X