Jumaat, 31 Mei 2019 | 3:37pm

Maki hamun, tampar selepas tendang troli

DUNGUN: Seorang lelaki didakwa menampar dan memaki hamun seorang kakitangan kerajaan di khalayak ramai selepas menendang troli mangsa di sebuah pasar raya di Sura Gate, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku jam 4.45 petang ketika penjawat awam lelaki berusia 33 tahun itu sedang menolak troli di hadapan pasar raya untuk membeli barang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata suspek yang datang dari sebelah kanan mangsa dikatakan tiba-tiba menendang troli lelaki itu.

Katanya, mangsa yang terkejut kemudian bertanya suspek mengenai punca bertindak sedemikian.

Beliau berkata, suspek kemudian didakwa memaki hamun mangsa kerana dikatakan menghalang laluannya.

“Mangsa dikatakan menegur suspek supaya menjaga percakapannya. Namun, suspek berusia 50-an didakwa menampar pipi kiri mangsa di khalayak ramai.

“Akibat kejadian itu, mangsa menanggung kesakitan dan bengkak di pipi sebelum membuat laporan di Balai Polis Dungun, kelmarin,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

1244 dibaca
Berita Harian X