Khamis, 30 Mei 2019 | 7:20pm
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan dengan lori di Kilometer 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli. - Ihsan Bomba

Bapa maut, 2 anak cedera kemalangan

GERIK: Seorang maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa yang maut adalah pemandu Nissan Grand Livina, Mohd Nazeri Zakaria, 42.

Empat yang cedera ialah dua anak Mohd Nazeri, pemandu Proton Exora dan pemandu lori.

Kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori membawa muatan zink.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati Nissan Grand Livina yang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala Gerik hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“MPV itu kemudian berlanggar dengan Proton Exora dari arah Gerik ke Jeli sebelum lori yang berada di belakang Proton Exora merempuh kenderaan itu,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, bergegas ke lokasi dan mengeluarkan pemandu Proton Exora tersepit di tempat duduknya.

Berita Harian X