Khamis, 30 Mei 2019 | 12:43pm
MOHAMED Apandi Ali

Mohamed Apandi bebas ke luar negara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menarik balik sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atas bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pada masa sama, Mohamed Apandi menarik balik permohonannya mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jabatan Imigresen yang mengenakan sekatan perjalanan itu.

Peguam M Visvanathan yang mewakili Mohamed Apandi, berkata anak guamnya menarik balik permohonan itu berikutan menerima surat daripada Jabatan Imigresen pada 8 Mei lalu yang menarik balik larangan menghalangnya ke luar negara.

Visvanathan berkata, anak guamnya kini bebas ke luar negara selepas tiada apa lagi sekatan terhadapnya.

“Jika tidak ada apa-apa sekatan daripada mahkamah, tiada alasan kenapa mana-mana pihak perlu disekat perjalanan mereka,” katanya.

Peguam itu berkata demikian kepada pemberita selepas kes permohonan itu disebut di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya hari ini.

Beliau juga berkata mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Sementara itu, Peguam Persekutuan Istisyhad Ismail mewakili Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden, mengesahkan perkara itu.

Mohamed Apandi selaku pemohon memfailkan permohonan itu bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan arahan menghalangnya mendapatkan pasport dan menyekat perjalanannya ke luar negara melalui makluman lisan pada 22 Februari lalu.

Mohamed Apandi juga memohon perisytiharan bahawa kesemua responden tiada kuasa menghalangnya ke luar negara dan perintah menghalang responden daripada menyenarai hitam beliau.

Dalam afidavit sokongannya, Mohamed Apandi berkata pada 22 Februari lalu, beliau ke Jabatan Imigresen bagi memperbaharui pasport untuk ke United Kingdom pada Julai depan bagi melawat anak lelakinya yang belajar di negara itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan oleh pegawai imigresen, tidak boleh memperbaharui pasport tanpa sebarang penjelasan.

627 dibaca
Berita Harian X