Khamis, 30 Mei 2019 | 12:12pm

3 bersaudara dipercayai lemas

SIBU: Kegembiraan dua beradik bersama seorang sepupunya menyambut Gawai berakhir tragedi selepas semua mereka dikhuatiri lemas di Sungai Nanga Tutus, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, dua beradik, Trance Gong Tommy,14, dan Trisha Janggok Tommy, 12, manakala sepupu mereka, Nurul Syahiera Salam,13, keluar ke jeti di sungai itu untuk membantu seorang bapa saudara membasuh pakaian, sambil ditemani nenek mangsa.

Trance dan adik perempuannya, Trisha, dilihat terjun dari jeti ke sungai berkenaan bersama Nurul Syahiera, namun timbul semula dan kembali naik ke jeti itu.

Pemangku Ketua Bomba Zon Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad, berkata nenek mangsa memaklumkan, kelibat ketiga-tiga mereka tidak kelihatan selepas terjun ke sungai itu bagi kali kedua.

“Semua mangsa dari Rumah Ligawa, di sini, dikhuatiri lemas, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah.

“Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan pada jam 4 petang (semalam) dan SAR turut mendapat kerjasama 14 penduduk kampung.

“Bagaimanapun, operasi berkenaan ditangguh pada jam 7 petang atas faktor cuaca,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak lima bot persendirian milik penduduk sekitar turut bekerjasama mencari semua kanak-kanak berkenaan.

“Pada jam 9.30 pagi ini, operasi SAR dihentikan seketika kerana hujan lebat dan akan bersambung semula selepas cuaca mengizinkan,” katanya.

Berita Harian X