Rabu, 29 Mei 2019 | 7:03pm

Tiga wanita korban pertama Ops Selamat 15 di Sarawak

BINTULU: Tiga wanita maut apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Pesisir Bintulu-Miri, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Gensa Unggau, 36, Nuai Bakar, 24 dan Lengidi Koling, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian kira-kira jam 1.40 petang berlaku apabila pacuan empat roda yang dinaiki 10 penumpang, termasuk dua kanak-kanak bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, bergegas ke tempat kemalangan sebaik saja menerima panggilan pada jam 1.45 tengah hari.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati tiada mangsa tersepit kerana semuanya sudah dikeluarkan oleh orang awam.

“Tiga wanita didapati meninggal dunia dunia lokasi, manakala tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Bintulu,” katanya.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa serta tujuh lagi penumpang itu dalam perjalanan untuk membeli persiapan menyambut perayaan Gawai Dayak.

Mereka korban pertama dalam Ops Selamat sempena perayaan Gawai dan Aidilfitri 2019.

Tiga wanita maut apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Pesisir Bintulu-Miri, hari ini. - Ihsan PDRM
Berita Harian X