Rabu, 29 Mei 2019 | 4:17pm
Anggota bomba mengesan remaja dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh di Sungai Baram. - Ihsan Bomba

Kawasan arus deras, air berpusar tumpuan SAR

MARUDI: Kawasan arus deras dan air berpusar menjadi tumpuan utama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan remaja dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh di Sungai Baram, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata SAR menggunakan kaedah pencarian di permukaan itu juga diperluaskan hingga jarak 18 kilometer (km) dari lokasi mangsa, Mohd Farid Adenan, 16, dilaporkan terjatuh.

“Lokasi pencarian kini tertumpu di kawasan lubuk dan tanjung Kampung Narum, Lubuk Naga dan pangkalan feri dengan radius pencarian 18km ke hulu dan hilir dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh ke sungai,” katanya.

Dalam kejadian tengah hari semalam, mangsa dilaporkan terjatuh ke sungai ketika memancing.

Susulan itu, Ling Hii berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 petang semalam.

Selain bomba, SAR disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung, dengan operasi hari ini bermula seawal jam 6 pagi tadi.

Berita Harian X