Rabu, 29 Mei 2019 | 10:40am
PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga emas yang dikhuatiri hilang di kawasan hutan Sungai Entajum Sangan. - Foto Erika George

Gerakan mencari warga emas hilang di hutan diperhebat

BINTULU: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dikhuatiri hilang di kawasan hutan Sungai Entajum Sangan, Tatau, di sini, diperluaskan selepas tiada petunjuk ditemui sejak operasi itu dilancarkan, semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, berkata operasi hari kedua, hari ini membabitkan seramai 15 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis serta penduduk rumah panjang.

Beliau berkata, pencarian kini ditumpukan di kawasan kebun, pinggir hutan serta sungai.

“Setakat ini, kami belum menemui sebarang petunjuk atau jejak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa, Abek Imang, 90, tidak balik ke kediamannya di Rumah Panjang Nibong, selepas keluar kira-kira jam 1.30 tengah hari, Ahad lalu.

Pencarian dijalankan penduduk rumah panjang sejak Ahad lalu, namun selepas gagal menemui wanita warga emas itu, laporan kehilangannya dibuat, semalam.

Katanya lagi, mangsa difahamkan mengalami masalah pendengaran selain pergerakan agak perlahan berikutan faktor usia lanjut.

Berita Harian X