Selasa, 28 Mei 2019 | 4:37pm
NAZLI menunjukkan slip pemeriksaan bas pada Program Pemeriksaan Bas di Depoh-Pra Ops HRA 2019 berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Ihsan JPJ Selangor

Anggota JPJ menyamar penumpang bas

SEPANG: Kira-kira 30 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi mengesan kesalahan pemandu kenderaan berkenaan sepanjang Operasi Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata kaedah penyamaran itu akan dilakukan setiap hari di beberapa destinasi di Selangor bermula esok hingga 13 Jun ini.

“Inisiatif ini adalah sebagai langkah tambahan sepanjang operasi sempena Aidilfitri yang akan bermula esok.

“Kita akan tempatkan anggota JPJ dalam bas secara samaran untuk melihat dan memastikan pemandu bas tidak melakukan kesalahan antaranya pandu melebihi had laju, menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Apabila kesalahan dibuat pemandu, anggota atau pegawai JPJ yang membuat samaran dalam bas boleh mengarahkan bas untuk berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran dan mengeluarkan saman kepada pemandu atau saman akan dikeluarkan

kepada pemandu sebaik bas berkenaan tiba di lokasi terakhir iaitu di terminal.

“Sebagai contoh, jika pemandu bas menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tindakan saman sebanyak RM300 akan dikenakan terhadap pemilik dan pemandu bas secara mandatori,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Program Pemeriksaan Bas di Depoh-Pra Ops HRA 2019 di sini, hari ini.

Katanya program Pemeriksaan Bas di Depoh-Pra Ops HRA 2019 bertujuan memastikan bas yang digunakan selamat serta mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

“Enam fokus utama aspek teknikal pada bas yang diperiksa adalah brek, tayar, lampu, lampu isyarat, pembalik cahaya dan perakuan pemeriksaan Puspakom.

“Ia bagi memastikan sistem brek dan tayar bas berada dalam keadaan selamat untuk digunakan dan memastikan penggunaan tayar mengikut piawaian seperti Malaysian Standard (MS) dan United Nation Economic Commision for Europe (UNECE),” katanya.

Beliau berkata pihaknya menganggarkan sepanjang pelaksanaan Program Pemeriksaan Bas di Depoh-Pra Ops HRA 2019 ini, kira-kira 130 bas ekspres diperiksa.

“Setiap bas ekspres akan diperiksa dan bagi yang tiada masalah daripada aspek teknikal yang termasuk dalam pemeriksaan, slip pemeriksaan bas akan dikeluarkan.

“Tempoh sah laku Slip Pemeriksaan adalah dari tujuh hingga 14 hari, bergantung kepada ukuran ketebalan bunga tayar bas semasa diperiksa.

“Bagi bas yang didapati ada masalah daripada aspek teknikal yang diperiksa, slip Pemeriksaan tidak akan dikeluarkan dan pemilik bas diminta untuk membaiki atau memperbetulkan keadaan atau kerosakan itu dengan serta merta,” katanya.

Selain itu, katanya, bagi bas yang tidak dapat dibuat pemeriksaan di depoh, anggota JPJ juga ditempatkan di terminal bas untuk membantu membuat pemeriksaan sebelum bas memulakan perjalanan.

1179 dibaca
Berita Harian X