Selasa, 28 Mei 2019 | 3:58pm
Keadaan lori yang terbakar selepas terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam tiga meter di Jalan Ulu Tiram menghala ke FELDA Ulu Tebrau hari ini. - Ihsan Bomba

Nahas lori simen: Kelindan mangsa ketiga meninggal dunia

JOHOR BAHRU: Seorang lagi kelindan dalam kes nahas treler membawa muatan simen terbabas dan terbakar yang mengorbankan dua nyawa pagi tadi, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sebentar tadi.

Mangsa ketiga dikenal pasti sebagai Muhammad Afandey Ahmad, 20, disahkan meninggal dunia jam 2 petang tadi akibat nahas kira-kira jam 8.30 pagi itu.

Terdahulu, pemandu treler berkenaan, Zuhairy Zainol, 31, dan seorang kelindannya, Muhammad Afiq Zainol, 19, meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lori dilaporkan parah di kepala dan beberapa bahagian badan akibat tercampak keluar, manakala kelindannya pula rentung.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, berkata siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dari arah Ulu Tiram menghala FELDA Ulu Tebrau di sini, hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Treler itu kemudian terbakar menyebabkan pemandunya juga terbakar dari paras pinggang ke bawah, manakala kelindan pertama tersepit dan terbakar seluruh badan. Mereka maut di tempat kejadian.

“Kelindan ketiga yang tercampak keluar dari treler itu mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HSI,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pagi tadi, media melaporkan Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Amdzah, berkata kelindan yang maut di tempat kejadian dipercayai tidur di ruang tempat tidur treler berkenaan ketika nahas terbabit.

Berita Harian X