Isnin, 27 Mei 2019 | 6:13pm
PASANGAN suami isteri direman seminggu untuk membantu siasatan kes kematian anak lelaki mereka dipercayai didera. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Dera anak hingga maut, suami isteri positif syabu

YAN: Pasangan suami isteri yang disyaki terbabit mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sehingga maut, kelmarin, didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata ujian itu dilakukan selepas kedua-dua mereka ditahan semalam.

“Kedua-dua suspek iaitu bapa tiri dan ibu kandung mangsa kini direman selama seminggu bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Yan, di sini, pada jam 10 pagi tadi bagi mendapat perintah reman.

Perintah reman sehingga 2 Jun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Yan, Nurul Rashidah Mohd Akit.

BH melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai didera bapa tirinya di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak, di sini.

Mangsa, Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul maut selepas mengalami kecederaan dalaman dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Berita Harian X