Isnin, 27 Mei 2019 | 12:21pm

Berlumba di jalan baharu

SERI MANJUNG: Walaupun belum siap sepenuhnya dan belum dibuka kepada awam, Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) sudah menjadi tumpuan medan perlumbaan motosikal haram dan aksi samseng jalanan, sejak kira-kira dua bulan lalu.

Ratusan kumpulan mat rempit itu mengambil kesempatan menjadikan laluan dekat susur keluar Ayer Tawar dekat sini sebagai ‘port’ baharu mereka setiap petang Ahad.

Antara aksi ditampilkan ialah menunggang motosikal paling laju, melakukan aksi ‘pacak’ paling tinggi tanpa jatuh dan mengubah suai motosikal paling hebat, sebelum diberi gelaran ‘king’ dalam kalangan mat rempit terbabit.

Difahamkan, pemilihan tempat itu berikutan kawasan utama aktiviti mereka sebelum ini, iaitu di Jalan Ayer Tawar-Lumut berhampiran pusat boling di sini sering diserbu pihak berkuasa.

Taktik kumpulan itu bagaimanapun berjaya dikesan hasil risikan selama seminggu dalam Op Khas Samseng Jalanan Ramadan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dan Pasukan Sukarelawan Polis Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata seramai 283 individu dan 277 motosikal diperiksa dengan 11 kenderaan itu disita dalam operasi khas itu bermula jam 3 petang semalam sehingga 12 tengah malam tadi.

“Hasil risikan operasi selama seminggu polis mendapati terdapat aktiviti lumba haram di tapak projek lebuh raya berkenaan. Hasil pemeriksaan lanjut polis mengeluarkan sebanyak 374 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

“Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 114 saman, 75 saman untuk kesalahan mengubah suai kenderaan. Bagi menunggang motosikal di bawah umur pula sebanyak 15 saman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga meminta ibu bapa memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terbabit dalam kegiatan lumba haram.

Sementara itu, seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai John, 20, berkata, dia yang baru pulang bercuti di kampung datang ke tempat berkenaan hanya sebagai penonton dan mengakui aktiviti itu menyalahi undang-undang.

“Ini kali pertama saya ke sini dan pinjam motosikal abang saudara yang diubah suai supaya nampak lebih ‘rare’ tapi tak sangka pula hari ini polis datang dan terpaksa tolak motor lebih lima kilometer ke balai.

“Apa yang saya tahu lebuh raya ini menjadi lokasi baru aktiviti lumba haram sejak dua bulan lalu. Tapi tiada wang pertaruhan kerana ini hanya untuk suka-suka saja. Siapa jadi ‘king’ dia akan dipandang tinggi dan hebat,” katanya.

Menurut John, tempat itu menjadi tumpuan ramai bukan sahaja dari kalangan penunggang motosikal Ayer Tawar, malah dari Manjung, Sitiawan, Bota dan Ipoh setiap Ahad bermula jam 5 hingga 7 petang.

“Memang ada amaran supaya orang awam tidak masuk ke lebuh raya ini. Tapi lebuh raya yang belum dibuka dijadikan lokasi berlumba. Lagipun, lorong di sini lebih besar dan aktiviti ini tak sampai malam sebab tiada lampu,” katanya.

507 dibaca
Berita Harian X