Jumaat, 24 Mei 2019 | 4:29pm

Wanita diserang peniaga, pengunjung

KOTA BHARU: Seorang wanita mengalami kerugian RM5,000 selepas kenderaannya dipercayai dirosakkan dan cermin dipecahkan beberapa lelaki dalam kejadian di jalan hadapan Bazar Buluh Kubu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa bersama adik dan dua anaknya berdepan detik cemas apabila Toyota Camry yang dinaiki mereka ditendang dan dipukul dengan kayu serta besi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata sebelum kejadian, mangsa baru saja keluar dari parkir sebuah pasar raya dan melalui jalan berkenaan yang dijadikan sebagai tapak jualan.

Katanya, wanita berkenaan sudah meminta kepada peniaga supaya mengalihkan meja dan barang jualan berikutan mahu lalu jalan itu, namun tindakannya membuatkan beberapa lelaki berang.

“Wanita itu kemudian meneruskan perjalanannya dan ketika melalui kedai makan berhampiran pasar raya berkenaan, mangsa mendapati keretanya ditendang oleh beberapa lelaki yang berada berhampiran gerai jualan.

“Mangsa kemudian turun daripada kereta dan bertanya siapa yang menendang kenderaannya, tetapi tiada siapa yang mengaku sebelum dia masuk semula ke dalam kereta. Sekali lagi, dia dapati keretanya ditendang di bahagian belakang dan beberapa orang lelaki sudah mengelilingi kenderaannya.

“Wanita itu meneruskan perjalanan kerana bimbang akan keselamatan diri dan ketika berada di lampu isyarat berhampiran, keretanya sekali lagi terhalang oleh peniaga dan orang ramai di kawasan itu. Mangsa memberhentikan kereta dan keluar daripada kenderaannya dan ketika ini datang dua lelaki yang tidak dikenali memecahkan cermin kereta di bahagian belakang menggunakan kayu dan besi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit 33 saat tular di laman sosial Facebook sejak malam tadi yang kelihatan seorang wanita berang selepas diserang sekumpulan lelaki dipercayai peniaga dan pengunjung di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, lelaki itu cuba memukul dan mengatakan mahu mencederakan mangsa dan anak saudaranya yang berada di dalam kereta tetapi dihalang oleh beberapa orang awam.

Katanya, adik perempuan mangsa terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan apabila anggota polis yang kebetulan sedang meronda di kawasan itu tiba, beberapa lelaki yang terbabit terus melarikan diri.

“Mangsa kemudian dibawa balai polis berhampiran. Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang juga peniaga berusia 26 tahun untuk siasatan lanjut.

“Kita masih mengesan beberapa lelaki yang masih bebas yang dipercayai turut terbabit dalam kes itu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, pihak polis menasihatkan peniaga di kawasan itu supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan tidak menghalang laluan, manakala pengguna jalan raya juga perlu berhati-hati dan memperlahankan kenderaan apabila melalui kawasan yang sesak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang mengambil tindakan sendiri serta membelakangkan undang-undang,” katanya.

3773 dibaca
KENDERAAN seorang wanita dipecahkan oleh sekumpulan peniaga mengakibatkan kerugian RM5,000 di jalan hadapan Bazar Buluh Kubu.
Berita Harian X