Khamis, 23 Mei 2019 | 9:18pm

Jurutol trauma, pondok tol dirempuh treler

BUKIT MERTAJAM: Seorang jurutol dalam keadaan trauma selepas pondok tol tempatnya bertugas dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Plaza Tol Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dekat Kubang Semang di sini, tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu dikatakan berlaku apabila seorang lelaki gagal mengawal treler dipandunya hingga menyebabkan muatan barang lusuh dibawanya tersangkut pada pondok tol.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata jurutol wanita berusia 30-an yang sedang bertugas ketika itu bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan awal mendapati treler itu membawa muatan berlebihan dan menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaannya lalu tersangkut pada pondok tol, sebelum struktur berkenaan roboh.

“Kejadian turut mengakibatkan kereta jenis Proton Gen 2 yang berada di lorong bersebelahan terkena tempias daripada insiden berkenaan apabila kenderaannya hampir dihempap pondok tol yang roboh itu,” katanya di sini, hari ini.


KETUA Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hami. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Beliau berkata, pemandu Proton Gen 2 terbabit mengalami cedera ringan manakala pemandu treler dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu kerana pemandu leka dan gagal mengawal kenderaan hingga mengakibatkan berlaku kemalangan,” katanya.

Berita Harian X