Khamis, 23 Mei 2019 | 5:08pm
SEORANG perempuan India berumur 50 tahun meninggal dunia di dalam bilik hotel akibat serangan jantung di Jalan Sg Dua, Pulau Pinang. - Foto IHSAN PDRM

2 mayat ditemui dalam 2 kes berasingan

GEORGETOWN: Seorang wanita ditemui mati dalam sebuah bilik hotel yang didiaminya di Jalan Sungai Dua, di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 50 tahun yang bekerja di bahagian pemasaran dan jualan sebuah syarikat itu dikatakan masih sedarkan diri ketika pekerja hotel datang mengemas biliknya dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata bagaimanapun kira-kira jam 5 petang semalam, pekerja hotel yang masuk ke bilik mangsa mendapati wanita itu sudah tidak bernyawa selain hidungnya berdarah.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat serangan jantung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Che Zaimani berkata pengurus hotel berkenaan memaklumkan mangsa menginap bersendirian di bilik berkenaan sejak tujuh bulan lalu.

“Ketika pemeriksaan dijalankan di bilik berkenaan, polis menemui pelbagai jenis ubat milik mangsa,” katanya.

Dalam kes berasingan, mayat seorang lelaki tanpa identiti, dianggarkan berusia antara 30 ke 50 tahun, ditemui di Sungai Perai bersebelahan Ampang Jajar, Bukit Mertajam, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata mayat itu ditemui kira-kira jam 11 pagi dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas mayat itu tidak menemui sebarang kesan jenayah, sebaliknya terdapat kesan luka di bahagian dada, lengan sebelah kiri dan bahagian punggung dipercayai dimakan bintang buas.

“Mangsa juga dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada tiga hari memandangkan keadaan mayatnya yang sudah kembung,” katanya.

Kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X